Friday 8 May 2020

Pemerhatian dan Pengalaman Tentang Sakramen Pengurapan Pesakit

Ini adalah isu yang sering berlaku. Berapa umat memaklumkan kepada paderi hanya pada saat-saat terakhir untuk pemberian Sakramen Pengurapan Pesakit. Lebih baiklah jika paderi diberitahu sebelum pesakit masuk hospital atau sebaik sahaja dia masuk hospital. Ada yang rasa, selepas pesakit diurapi, kemungkinan besar dia ‘balik kampung’ atau meninggal dunia; pernah dikenali sebagai “urapan terakhir” atau “extreme unction” – istilah yang digunakan pada masa dulu. Kini, sakramen pengurapan boleh diberi awal-awal lagi dimana kita meminta Allah melindungi pesakit dan menyembuhinya. Tidak bermasaalah jika situasi kecemasan di mana paderi dimaklumkan dan diberi masa yang singkat. Ini tertuju kepada umat yang sedia tahu – pesakit di hospital atau akan dimasukkan ke hospital tetapi mengambil masa yang lama atau hanya memaklumkan kepada paderi pada saat-saat terakhir semasa pesakit dalam keadaan tenat.

Bila paderi, tidak dapat memberi sakramen tersebut sebelum pesakit meninggal dunia, sesetengah orang akan menyalahkan paderi. Paderi dicaci dan ada juga diancam akan dilukakan secara fizikal. Bila maklumkan pada saat-saat terakhir, anda fikir paderi boleh terbang? Situasi ini boleh dielakkan sekiranya umat memaklumkan awal-awal lagi.

Ada pula umat yang menjangka paderi yang bertutur bahasa tertentu untuk memberi sakramen itu. Oleh kerana paderi khusus itu tidak dapat hadir, paderi lain yang mungkin tidak bertutur bahasa tersebut masih boleh memberi sakramen itu. Tetapi ini pula menimbulkan perasaan marah dan tidak senang hati. Pengurapan oleh seorang paderi itu tetap pengurapan, tidak kira bahasa pertuturan paderi itu. Umat harus bersyukur seorang paderi hadir untuk memberi sakramen itu dari berkeras kepala dan menunjukan perasaan marah.

Ada juga umat yang rasa mereka berhak untuk meminta hanya paderi dari paroki sendiri memberi sakramen itu. Kadang-kadang paderi dari paroki sendiri tidak dapat pergi dan paderi dari paroki lain dipesan mewakilinya, dan paderi dari paroki lain itu dapat pergi memberikan sakramen itu. Oleh sebab ini, umat itu naik marah dan menjerit-jerit pula. Sebenarnya, seorang paderi telah dilantik untuk memberi sakramen itu, Kan itu lebih penting – pesakit dapat menerima sakramen pengurapan?

Saya teringat satu situasi dimana, seorang ahli paroki dari kumpulan bahasa tertentu meminta seorang paderi yang dapat bertutur dalam bahasanya untuk pergi memberikan Sakramen Pengurapan kepada ibunya. Paderi yang dapat berbahasa tersebut sibuk pada masa itu. Pada masa itu, saya juga tidak dapat pergi kerana ada hal mendesak. Walaubagaimanapun, saya menghubungi paderi dari paroki lain untuk menolong kami. Paderi tersebut mampu memberi pengurapan untuk ibu tersebut. Tetapi ahli paroki berasa sungguh kecewa kerana kedua-dua paderi dari parokinya tidak dapat memberi sakramen itu sehingga dia berani menulis surat aduan kepada Uskup tentang hal ini. Saya sungguh terkejut dengan sikap ini. Di mana perginya budi bahasa, akal dan kesyukuran?

Mungkin, segelintir dari kita patut lihat diri sendiri dan sikap kita terhadap pemberian sakramen pengurupan pesakit. Jika orang kesayangan kita dapat menerima sakramen pengurapan dari seorang paderi, maka kita patut berterima-kasih dan bersyukur kepada Allah. Mengapa berkelakuan tidak senonoh atau hendak sangat paderi yang dapat bertutur bahasa tertentu, atau lebih mengelirukan, hanya paderi-paderi dari paroki sendiri memberi sakramen itu? Adakah ini bermakna hanya paderi-paderi dari paroki sendiri sahaja halal, manakala paderi-paderi dari paroki lain haram? Tidakkah kita patut hargai keadaan dimana kita dapat seorang paderi untuk menunaikan sakramen itu kepada orang kesayangan kita? Mana lebih penting...sakramen pengurapan yang dilaksanakan oleh paderi atau menunaikan kehendak dan jangkaan paderi tertentu untuk menjalankan sakramen tersebut?

No comments:

Post a Comment

Quotes and Anecdotes Throughout Ministry (The Story of our Lives so far)

Having been a priest for several years, I have from time to time come up with interesting quotes from different sources. Some of these quote...